Sunday, 27 June 2010

Pasar Karat ada tarikan tersendiri

IPOH 13 Dis. - Kata seorang rakan, sebut apa sahaja, semuanya ada dijual di pasar ini kecuali saudara-mara.

Rupa-rupanya seloroh itu benar kerana Pasar Lookin atau Ipoh Memory Lane yang terletak di Jalan Bijih Timah di sini menjual pelbagai jenis barangan.

Bukan sahaja barangan moden, pelbagai koleksi barangan antik juga tersedia di sini sehingga ada yang selesa memanggilnya 'Pasar Karat'.

Kali pertama mengunjungi pasar ini, mata pasti meliar dan terpegun dengan koleksi barang-barang yang dijual.

Malah ada yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam di satu-satu gerai untuk melihat barang-barang lama yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Itulah keistimewaan Pasar Karat yang beroperasi pada setiap Ahad antara pukul 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Suasana di kawasan itu sememangnya meriah ibarat 'semut mengerumuni gula' dan boleh dikatakan ia diserbu ribuan pengunjung setiap kali pasar lambak sepanjang kira-kira tiga kilometer itu beroperasi.

Tidak perlu meja berhias cantik, hanya hamparan kain untuk meletakkan barangan jualan, sudah dapat menarik perhatian pengunjung.

Gelagat peniaga dengan pelbagai gaya juga turut menarik perhatian pengunjung untuk memandang walaupun sekilas, pada barang-barang jualan.

Cuaca panas, peluh membasahi baju dan pelbagai bau tidak menghalang orang ramai untuk mengunjungi pasar lambak ini kerana keistimewaan dan kepelbagaian barang yang ada terjual.

Pasar Karat popular di kalangan penduduk tempatan dan juga pelancong kerana koleksi barangan lama yang dijual di situ.

Antara barang lama yang boleh ditemui ialah telefon, pinggan mangkuk, barangan tembikar dan tembaga, seterika arang serta koleksi syiling dan wang kertas pelbagai negara.

Gobek pinang yang memang jarang dapat dilihat sekarang ini dan kukur kelapa berukir juga dijual di sini.

Lebih istimewa, pasar ini juga menyediakan pelbagai jenis album atau rekod klasik sama ada oleh artis tempatan mahupun luar negara yang sebelum ini mungkin begitu sukar ditemui di tempat lain.

Apa yang perlu dilakukan oleh pembeli hanyalah memilih barang yang berkenan di hati dan membuat tawaran harga dengan penjual.

Bagi yang berhasrat membeli barangan pada harga murah pula, pasar ini turut menjadi pilihan kerana pelbagai barangan terkini seperti beg tangan, jam, cermin mata, kasut dan tudung turut dijual.

Selain itu, di sebalik deretan gerai lambak, ada juga terselit kedai kecil menjual ikan laga dan jangan pula terkejut jika anda tiba-tiba 'disapa' oleh seekor kambing gurun yang menjadi 'maskot' pasar lambak ini.

Selepas penat berjalan di sepanjang kira-kira 100 gerai di situ, pengunjung boleh berehat dan menjamu selera di gerai berhampiran sambil dihiburkan dengan alunan muzik yang dimainkan oleh 'orang-orang lama'.

Itulah istimewanya Pasar Karat. Segala-galanya ada di sini. Hati pasti tertawan dengan kemeriahan dan hiruk-pikuk suasananya.

Sumber: Oleh HAMIMAH HAMID, Utusan Malaysia Online 14/12/2009

No comments: