Monday, 25 April 2011

Malu bertutur jadikan Bahasa Melayu terpinggir - TPM

KUALA LUMPUR 25 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap malu dan rendah diri masyarakat untuk bertutur menggunakan Bahasa Melayu menyebabkan bahasa itu seolah-olah terpinggir di bumi sendiri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, fenomena itu jauh berbeza jika dibanding dengan negara-negara besar dunia seperti China dan Jepun di mana rakyatnya begitu bangga dengan bahasa sendiri dan mendaulatkan penggunaannya di semua peringkat.

"Perkara itu memang saya setuju kerana ada juga kebimbangan kita iaitu seolah-olah bahasa kebangsaan seperti dipinggirkan kerana masyarakat lebih mengalu-alukan bahasa Inggeris.

"Saya pergi ke China dan mereka di sana cakap semua dalam bahasa Cina, begitu juga di Jepun, bila majlis cakap bahasa mereka, cuma apabila hendak bercakap dengan kita secara personal, barulah mereka bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Jadi, saya rasa ini kerana sikap, mungkin agaknya kalau tak guna bahasa Inggeris tak berapa ‘glamour’, seolah-olah bahasa Melayu ini bahasa rendah,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Firdaus bertanya mengenai punca kemerosotan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat, syarikat-syarikat awam dan swasta dan sama ada keadaan itu berlaku disebabkan kaedah pengajaran bahasa itu. - Bernama

Utusan Malaysia Online
25/04/2011 3:14pm

No comments: