Monday, 25 April 2011

Merah, hitam punca gila Coca-Cola

PELIK bila diberitahu minuman berkarbonat itu bukanlah kegemarannya, tetapi dia cukup suka mengumpul apa sahaja barangan yang tertera perkataan Coca-Cola.

Bagi Abdul Majid Mat, 41, Coca-Cola begitu dekat dengan dirinya.

Segalanya bermula sejak 10 tahun lalu.

Mengaku begitu menyukai warna merah dan hitam, kata Ketua Penolong Pengarah Pusat Politik dan Ekonomi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Coca-Cola ada dua elemen warna kesukaannya.

“Lama juga masa yang saya ambil untuk kumpul barangan ini. Sebelum ini saya ada juga cuba mengumpul barangan lain seperti setem, pen dan pensil hotel.

“Tetapi entah kenapa bila tengok tin atau apa sahaja barangan yang bertulis Coca-Cola saya cepat benar jatuh ‘cinta’.

“Mungkin sebab warnanya. Kebetulan pula saya memang suka dengan warna merah, jadi mata pun cepat tertangkap pada warna kegemaran saya itu,” katanya.

Bercerita mengenai hobinya itu, menurut Majid, koleksinya tidak hanya terhad kepada barangan berbentuk tin atau botol minuman itu semata.

Sebaliknya, dia gigih mencari dan mengumpul gelas, dulang, jam tangan, bingkai gambar dan magnet.

Malah, dek kerana terlalu minat, Majid juga turut mempunyai tempat meletak botol yang biasanya dipunyai oleh penghantar minuman jenama itu.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu lagi, koleksinya juga datang daripada pelbagai tempat dan negara.

“Saya sering bertugas di luar negara dan ia memberi peluang buat saya untuk mendapatkan koleksi unik Coca-Cola daripada pelbagai tempat.

“Antara yang berada dalam simpanan saya adalah koleksi dari Rusia, New York, Belgium, England, Perancis, Thailand dan Indonesia.

“Koleksi paling disayangi, tentulah bingkai gambar Coca-Cola yang saya beli di Moscow, Rusia. Ia memang sukar didapati di Malaysia,” katanya.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga semestinya tersenyum bangga apabila koleksi ‘gilanya’ itu sudah mencecah hampir 300 item daripada pelbagai jenis dan bentuk.

Bercita-cita mahu membuka sebuah kedai cenderahati Coca-Cola dengan inspirasi gedung jenama itu yang cukup terkenal di Atlanta, kata Majid, jika boleh, dia mahu merealisasikan impiannya itu di Malaysia.

Dalam pada itu, Majid memberitahu, meski ada perancangan untuk menjual koleksi Coca-Colanya, dia bagaimanapun masih belum bersedia untuk berbuat demikian buat masa ini.

“Bagi yang tak pandai menilai, mereka akan kata buang masa saja kumpul barang murahan seperti ini.

“Berlainan bagi mereka yang tahu menilai, pasti akan jadi ‘gila’ macam saya,” katanya mengakhiri perbualan.

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
Utusan Malaysia Online
13/03/2011